Keterangan tatacara pembedahan Pembedahan

Lokasi

Di hospital, pembedahan moden sering diadakan di dalam bilik bedah dengan menggunakan peralatan bedah, meja bedah untuk pesakit, dan lain-lain kelengkapan. Persekitaran dan pertatacaraan yang digunakan dalam pembedahan diselia oleh prinsip-prinsip teknik aseptik: pengasingan benda-benda "steril" (bersih daripada kuman) daripada yang "tercemar" diperketat. Semua peralatan bedah mesti disterilkan, malah peralatan yang tercemar (iaitu dikendalikan secara tidak steril atau dibiarkan tersentuh permukaan yang tidak steril) mesti digantikan atau disterilkan semula. Kakitangan bilik bedah mesti memakai pakaian yang steril sepenuhnya (baju, seluar, topi, gaun, sarung tangan lateks atau polimer seumpamanya, dan topeng), malah mereka mesti menyental tangan dan lengan dengan bahan disinfektan yang diluluskan sebelum setiap pembedahan.

Persiapan sebelum pembedahan

Sebelum kerja pembedahan, pesakit menjalani pemeriksaan perubatan, ujian-ujian pra-pembedahan tertentu, dan dinilai status fizikalnya menurut sistem pengelasan status fizikal ASA. Jika hasilnya memuaskan, maka pesakit menandatangani borang kebenaran lalu diberi kelulusan untuk dibedah. Jika pembedahan dijangka menyebabkan kehilangan darah yang banyak, maka mungkin diadakannya pendermaan darah sendiri berminggu-minggu sebelum pembedahan. Jika pembedahan melibatkan sistem pencernaan, maka pesakit mungkin diminta untuk melakukan pembersihan salur usus dengan meminum larutan polietilena glikol pada malam sebelum pembedahan. Pesakit juga diarahkan supaya menghindari makanan dan minuman sebagai arahan NPO selepas tengah malam pada malam sebelum pembedahan untuk meminimumkan kesan isi perut terhadap perubatan pra-pembedahan serta mengurangkan risiko penyedutan jika pesakit muntah ketika atau selepas dibedah.

Sesetengah sistem perubatan mengamalkan rutin mengambil sinar X pada dada sebelum pembedahan. Rasionalnya adalah bahawa pakar perubatan mungkin mendapati suatu masalah perubatan tidak diketahui yang boleh merumitkan pembedahan, malah setelah menemuinya dengan sinar X, si pakar boleh menyesuaikan pembedahan sewajarnya.[1]

Sebenarnya, pertubuhan-pertubuhan profesional khusus perubatan menyaran supaya tidak melakukan sinar X kepada dada sebelum pembedahan untuk mereka yang mempunyai sejarah perubatan luar biasa serta diberi pemeriksaan fizikal yang tidak meminta sinar X dada.[1] Rutin pemeriksaan sinar X lebih berkemungkinan menyebabkan masalah seperti salah diagnosis, terlebih rawatan, atau akibat-akibat seumpamanya daripada memanfaatkan pesakit.[1] Begitu juga, ujian-ujian lain seperti kiraan sel dadah lengkap, masa protrombin, masa tromboplastin separa, panel metabolik asas, dan urinalisis tidak wajar dilakukan melainkan hasil-hasil ujian ini boleh membantu dalam menilai risiko pembedahan.[2]

Permulaan pembedahan

Di bilik menunggu pra-pembedahan, pesakit menanggalkan pakaian biasanya lalu diminta untuk mengesahkan butiran-butiran pembedahannya. Dicatatkannya tanda-tanda vital, dipasangnya talian IV persisian, dan diberikannya perubatan pra-operasi (antibiotik, sedatif, dsb.) kepada si pesakit. Apabila pesakit memasuki bilik bedah, permukaan kulit yang akan dibedah, iaitu kawasan bedah, dibersihkan dan disiapkan dengan menyapukan antiseptik seperti klorheksidina glukonat atau iodin povidon untuk mengurankang kemungkinan terjangkit. Sebarang bulu pada kawasan bedah dicukur sebelum disap antiseptik. Pesakit dibantu oleh ahli bius atau jururawat untuk membuat posisi pembedahan yang tertentu, kemudian tabir steril digunakan untuk melitupi segala badan pesakit kecuali kepala dan kawasan bedah dan sekelilingnya; tabir itu disepitkan pada sebatang kutub dekat kepala katil untuk mengasingkan kawasan kerja ahli bius (yang tidak steril) daripada kawasan pembedahan (yang steril).

Anestesia (pembiusan) diberikan untuk mencegah kesakitan daripada insisi, manipulasi tisu dan penjahitan. Mengikut tatacaranya, pembiusan boleh diberikan di bahagian tertentu atau secara menyeluruh. Spina (saraf tunjang) boleh dibius jika kawasan bedah terlalu besar atau dalam untuk dibius setempat, malah pembiusan menyeluruh tidak sesuai. Dengan anestesia di setempat atau saraf tunjang, kawasan bedah dibius tetapi pesakit boleh kekal sedarkan diri atau sedasi minimum, sementara anestesia am membuat pesakit lumpuh dan tidak sedarkan diri ketika pembedahan. Si pesakit dipasangi tiub-tiub dan ventilator mekanikal, lalu pembiusan dilakukan dengan gabungan agen-agen suntikan dan sedutan.

Pembedahan

Insisi dilakukan untuk mencapai kawasan bedah. Salur darah boleh dikapit atau dilecuhkan untuk mencegah pendarahan, sementara retraktor boleh digunakan untuk mendedahkan kawasan bedah atau menahan bukaan insisi. Pendekatan kepada kawasan bedah mungkin melibatkan beberapa lapisan insisi dan diseksi seperti dalam pembedahan dada yang mana insisi mesti merentasi kulit, tisu bawah kulit, tiga lapisan otot dan peritoneum. Adakalanya, tulang perlu dipotong untuk mendalami dalaman badan; contohnya, memootng tengkorak untuk pembedahan otak atau memotong tulang dada untuk membuka sangkar rusuk untuk pembedahan toraks. Sementara membedah, kesihatan dan keselamatan ditekankan untuk mencegah jangkitan atau merebaknya penyakit. Pakar bedah memakai topi serta menutup bulu mata dan muka dengan gogal dan topeng. Tangan, pergelangan tangan dan lengan bawah dicuci menyeluruh untuk mencegah kuman daripada mencapai badan yang dibedah. Apron PVC dipakai sepanjang masa untuk menghalang pencemaran. Larutan iodin antiseptik atau seumpamanya disaputkan ringan-ringan pada kawasan badan pesakit yang mahu dibedah, juga untuk mencegah jangkitan kuman dan penyakit sementara pesakit dipotong.

Maka dijalankannya usaha untuk membetulkan masalah di dalam badan. Usaha ini mungkin melibatkan:

  • Eksisi – memotong organ, tumor,[3] atau tisu seumpamanya.
  • Reseksi – penanggalan separa organ atau anggota badan seumpamanya.
  • Pencantuman semula organ, tisu dsb jika terputus. Reseksi organ seperti usus memerlukan pencantuman semula. Mungkin diperlukannya jahitan atau kokotan. Pembedahan cantum antara salur darah atau struktur salur atau liang seumpamanya dipanggil anastomosis.
  • Reduksi – pengalihan anggota badan kepada kedudukan normalnya. Cth. reduksi hidung patah melibatkan manipulasi tulang dan/atau rawan secara fizikal daripada keadaan sengetnya kembali kepada kedudukan asal untuk memulihkan aliran udara dan estetika.
  • Ligasi – mengikat salur darah, duktus atau "tiub".
  • Graf – cebisan tisu yang terputus dari badan atau kelepak tisu yang sama (atau berlainan), masih tercantum separa pada badan tetapi dijahit semula untuk menyusun semula atau membina semula anggota badan berkenaan. Graf sering dilakukan pada pembedahan kosmetik, bahkan juga dalam pembedahan lain. Graf boleh dipetik dari satu anggota ke anggota lain badan pesakit. Contohnya, pembedahan pintas arteri koronari, yang mana salur darah yang tersumbat dipintas dengan graf dari anggota badan lain. Graf juga boleh dipetik dari orang lain, mayat mahupun haiwan.
  • Pemasangan anggota prostetik. Contohnya, semat atau skru untuk memasang dan menahan tulang; rod prostetik atau alat ganti seumpamanya untuk menggantikan anggota tulang; plat yang dipasang pada bahagian tengkorak yang retak; pinggul buatan; alat perentak atau injap jantung; dan sebagainya.
  • Pembentukan stoma, iaitu bukaan kekal atau separa kekal dalam badan
  • Dalam pembedahan transplan, organ penderma (yang dikeluarkan dari badan penderma) dimasukkan ke dalam badan penerima lalu dicantumkan dengan penerima sewajar-wajarnya (salur darah, duktus, dsb.).
  • artrodesis – pembedahan cantum tulang-tulang bersebelahan supaya tulang itu tumbuh menjadi satu. Pelakuran spina adalah satu contoh pencatuman vertebra bersebelahan untuk tumbuh menjadi satu.
  • Mengubah suai salur pencernaan dalam pembedahan bariatrik untuk menyusutkan berat badan.
  • Pembaikpulihan fistula, hernia, atau prolaps
  • Lain-lain prosedur, termasuk:
  • pembersihan duktus, salur darah atau sebagainya yang tersumbat
  • pembuangan kalkulus (batuan)
  • penyaliran bendalir termendap
  • pembuangan tisu mati, rosak atau berpenyakit

Darah atau pengembang darah boleh disuntikkan untuk menggantikan darah yang susut ketika pembedahan. Setelah selesainya pembedahan, insisi ditutup dengan jahitan atau pengokot. Sebaik sahaja insisi ditutup, bahan bius dimatikan dan/atau diundurkan, kemudkian pesakit ditanggalkan ventilator dan tiub-tiubnya (jika anestesia am digunakan).[4]

Penjagaan selepas pembedahan

Selepas selesainya pembedahan, pesakit dipindahkan ke unit jagaan pasca anestesia lalu dipantau selia dengan teliti. Apabila pesakit didapati telah pulih dari bius, dia dihantar ke wad pembedahan di tempat lain atau dibenarkan keluar untuk pulang. Dalam tempoh pasca pembedahan, fungsi badan pesakit dinilai menyeluruh, hasil pembedahan dinilai, dan anggota badan yang dibedah diperiksa untuk tanda-tanda jangkitan. Terdapat beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan komplikasi pasca pembedahan, seperti keimunan menyusut dan obesiti. Obesiti sekian lama dikira sebagai faktor risiko untuk kesan buruk pasca pembedahan. Ia dikaitkan dengan pelbagai gangguan seperti sindrom hipoventilasi obesiti (peningkatan karbon dioksida darah akibat kurangnya udara yang masuk paru-paru), atelektasis (Pengembangan peparu yang tidak sempurna, terjadi secara kongenital atau perolehan) dan embolisme pulmonari (Pengembangan peparu yang tidak sempurna), kesan buruk kardiovaskular, dan kerumitan dalam penyembuhan luka.[5] Jika digunakannya tutupan kulit boleh buang, ia dibuang tujuh ke sepuluh hari selepas pembedahan, atau selepas berlangsungnya penyembuhan insisi.

Terapi pasca pembedahan termasuklah rawatan bantuan seperti kemoterapi, terapi sinaran, atau pengambilan ubat seperti ubat anti-penolakan transplan. Penyelidikan atau pemulian susulan boleh dipreskripsikan ketika dan selepas tempoh penyembuhan.

Berkaitan